BINCANGKAN KELEBIHAN SISTEM EKONOMI ISLAM BERBANDING SISTEM KAPITALISME DALAM ASPEK HUBUNGAN ANTARA PEKERJA DAN MAJIKAN








1.0       Definisi


1.1       Ilmu


Perkataan Ilmu bermaksud pengetahuan, kepandaian ( dalam perkara dunia, akhirat, zahir, bathin dan lain-lain.)  Ia juga boleh dimaksudkan sebagai Kajian berkenaan sesuatu perkara.[1]


1.2       Ekonomi


Perkataan Ekonomi ialah berasal daripada dua perkataan Greek, “oikou’ dan “nomous” yang bermaksud peraturan rumah tangga.


1.3       Ilmu Ekonomi


Perkataan Ilmu Ekonomi bermaksud , kajian sains sosial tentang bagaimana manusia mengurus sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak yang tidak terhad.


1.4       Sistem Ekonomi Islam


Akram Kahn mendefinisikan ekonomi Islam sebagai kajian al-Falah manusia melalui pengurusan sumber bumi , berasaskan kerjasama dan penyertaan.


Hasanuzzaman pula mentakrifkan Islam sebagai imu pengetahuan dan penggunaan perintah dan peraturan syariat demi melindungi ketidakadilan dalam perolehan dan penggunaan sumber asli bagi tujuan memenui kepuasan manusia dan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah dan masyarakat seluruhnya.


Amir Mohamad, al-Faysal al-Su’ud berpendapat ekonomi Islam ialah satu ilmu wasilah (alat) yang digunakan oleh manusia bagi memenuhi segala hajat individu dan masyarakat sesuai dengan syariat.


Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, Sistem Ekonomi Islam adalah sistem yang padanya terdapat bagaimana Islam mengatur kehidupan berekonomi dengan apa yang dimliki melalui keteliyiam berfikir yang , meliputi nilai-nilai moral Islam dan Ilmu Ekonomi. Ia juga mengkaji kegiatan manusia selaras dengan tuntutan syariah sama da pada peringkat perolehan, penggunaan atau pengurusan sumber untuk maslahah diri , masyarakat dan negara termasuklah aspek rohani dan jasmani untuk mencari mardhatillah.


Sistem ekonomi Islam mempunyai objektif untuk menyatupadukan pembangunan material dan spiritual. Ini kerana aspek kehidupan , jasmani dan rohani tidak boleh dipisahkan. Falsafah sistem ekonomi Islam menggariskan bahawa sumber harta dan kekayaan adalah milik Allah. Manusia saling bantu-membantu sama ada untung atau rugi yang mana kehidupan di dunia tidak akan terlepas daripada kehidupan di akhirat.


1.5    Definisi Ekonomi Kapitalisme


Perkataan kapital bermaksud modal, manakala maksud Kapitalis ialah orang yang mempunyai modal besar. Kapitalisme  pula ialah orang yang berfahaman kapitalalis. Ekonomi ini berasaskan kepada pengunaan akan hak-hak individu termasuk hak milik yang mana semua pemilikan adalah milik persendirian. Sistem ini memberikan kebebasan yang seluasnya kepada setiap individu untuk menceburkan diri dalam bidang perekonomian.






Ekonomi kapitalis adalah satu sistem yang berasakan riba dalam semua perkara kerana menggalakkan penciptaan kredit dalam melaksanakan pelaburan dan pengeluaran. Penggunaan riba adalah sebagai tanda atau harga bagi penawaran atau permintaan wang.


1.5.1 Beberapa prinsip asas dalam sistem ekonomi kapitalisme:
1.5.1.1      Mengakui hak pemilikan harta orang perseorangan secara mutlak.
1.5.1.2      Kebebasan ekonomi mutlak selagi individu tersebut melakukan
1.5.1.3              Perniagaan berdasarkan undang-undang.
1.5.1.4               Pasaran dan persaingan bebas.
1.5.1.5              Ketidakseimbangan ekonomi ( economic inequality ).
1.5.1.6               Memaksimakan keuntungan dan meminimakan kerugian.
1.5.1.7              Pemisahan antara moral dan material. Ini ditambah oleh
                proses sekularisasi yang bermula di barat.


1.5.2 Kritikan ke atas kapitalisme berhubung majikan dan pekerja


1.5.2.1               Lahir pengusaha yang pentingkan diri sendiri demi untuk
                        memaksimakan untung tanpa mengira kebajikan
                                masyarakat.
1.5.2.2               Pemisahan jelas antara aspek material dan moral /
kerohanian.
1.5.2.3               Lahir ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber
kekayaan.




Kurangnya keyakinan Ricardo terhadap sistem pasaran timbul semasa perkembangan sosialisme sebagai set idea dan kegiatan politik. Penilaian Smith yang positif terhadap kapitalisme telah dikritik. Ini kerana dari segi moral, kapitalisme meninggalkan kesan buruk terhadap kehidupan golongan pekerja kilang. [2]


1.6    Definisi Majikan


Majikan ialah orang yang mengambil satu atau lebih pekerja.[3]Definisi bagi seorang majikan dapat dituliskan sebagai tenaga manusia yang memiliki kegiatan pengeluaran yang sekaligus merupakan pengurus dan pentadbir terhadap kegiatan yang dijalankan. Beliau bertanggungjawab terhadap perjalanan pengeluaran. Ganjaran yang diterima ialah dalam bentuk lebihan setelah semua pulangan diagihkan kepada pekerja tanah dan modal dalam bentuk lebihan, maka beliau menghadapi risiko kerugian. Justeru itu, pulangannya mungkin positif dan mungkin negatif. Kedudukan kelebihan bagi usahawan sebahagiannya bergantung kepada kebolehan, keupayaan, ketentuan dan pengalaman.




1.7    Definisi Pekerja dan Kepentingannya


Pekerja bermaksud sebarang usaha dan ikhtiar yang dilakukan oleh tubuh atau akal fikiran manusia untuk mendapatkan ganjaran kewangan. Ia termasuk semua jenis kerja yang dilakukan sama ada yang menggunakan tenaga fizikal atau kebijaksanaan bagi mendapatkan ganjaran.[4]


Pekerja didefinisikan juga sebagai tenaga manusia yang disumbangkan ke arah pengeluaran barang-barang atau perkhidmatan, tenaga termasuk keahlian, di samping kemampuan fizikal.[5]


Menurut Marshall : Buruh ( pekerja ) adalah “ tiap-tiap pengguna seluruh atau sebahagian fikiran atau tubuh badah dengan tujuan untuk mendapatkan barang-barang selain daripada nikmat yang didapati secara langsung daripada pekerjaan itu”.[6]


Sekumpulan ahli ekonomi Perancis mendefinisikan buruh ( pekerja ) ; “mereka yang mengeluarkan barang-barang nyata seperti gandum, kapas, kentang, padi dan lain-lain, mereka yang dianggap buruh yang berhasil. Doktor, peguam, guru dan lain-lain dianggap tidak berhasil sehinggakan para pengusaha juga dianggap tidak berhasil.”[7]


Pekerja sebagai satu faktor pengeluaran mempunyai kepentingan yang sangat besar. Hinggakan kekayaan semula jadi sesebuah negara tidak akan berguna kepada manusia kecuali ia dieksploitasi dengan sebaik-baiknya dan dijadikan lebih berguna dan produktif oleh pekerja. Alam ini mungkin terlalu bermurah hati atau berlebih-lebihan dalam menjadikan sumber asli yang tidak ada had kepada negara tetapi tanpa usaha manusia, semuanya akan tetap tersimpan tanpa digunakan.
       
Oleh itu di samping terdapat banyak sumber negara yang berpotensi, perlulah juga ada pekerja yang bersungguh-sungguh, tekun dan bijaksana supaya mampu mengeksploitasi kekayaan semula jadi negara untuk faedah mereka sendiri.






Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Dan bahawa tiadalah untuk manusia, melainkan apa-apa yang diusahakannya”.
( Surah al-Najm 53:39 )


Diriwayatkan dengan jelas dalam ayat tersebut bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan sesuatu dari alam ini ialah melalui kerja keras. Kemajuan dan kekayaan manusia di dunia ini bergantung kepada usaha masing-masing. Semakin bersungguh-sungguh dia bekerja semakin banyak harta yang diperolehinya. Prinsip tersebut diperjelaskan lagi oleh Allah.


Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Untuk lelaki ada bahagian daripada usaha yang dikerjakannya, dan untuk wanita ada bahagian pula daripada usaha yang dikerjakannya”.
( Surah Al-Nisa’ 4:32 )


Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, untuk mereka itu pahala yang tidak putus-putus”.
( Surah Fussilat 41:8 )


Alam  ini tidak mengenal perbezaan di kalangan manusia, di antara lelaki dan wanita, atau berkulit hitam atau putih atau yang beriman dan tidak beriman; setiap orang  diberikan ganjaran menurut apa yang telah mereka kerjakan. Sesiapa yang bekerja keras akan mendapat ganjaran masing-masing yang sewajarnya.[8] Al-Quran menunjukkan prinsip asas tersebut melalui firman Allah.


Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Demikian itu kerana Allah sekali-kali tidak mengubah nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada semua kaum, kecuali jika mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
                   ( Surah Al-Anfal 8:53 )




2.0    Hubungan Pekerja dan Majikan  dalam Islam


Sistem perindustrian moden telah membahagikan pekerja dan majikan kepada dua kelompok yang bertentangan. Kelompok-kelompok ini mempunyai kepentingan yang bertentangan sehingga menyebabkan wujudnya pembaziran yang besar terhadap modal dan tenaga manusia dalam negara-negara kapitalis. Di sebalik langkah yang digubal untuk melindungi hak pekerja, pertentangan ini tidak juga berkurang malah semakin bertambah dari tahun ke tahun kebelakangan ini terutaman di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Kesatuan Sekerja telah gagal dalam mencapai objektifnya dan kerapkali pertelingkahan berlaku dalam setiap industri di negara-negara ini. Akibatnya mereka kerugian berjuta poun nilai pesanan barang oleh negara-negara barat. Disebabkan pertelingkahan mereka tidak dapat menghantar barang pesanan itu dalam tempoh masa yang telah dipersetujui.


2.1       Menolak Pertelingkahan


Pertelingkahan tidak akan wujud di antara pekerja dan majikan dalam negara Islam. Islam telah menghubungkan kedua-dua pekerja dan majikan dengan ikatan persaudaraan dan persahabatan serta mengatur mereka supaya kepentingan keduanya tidak bertentangan. Ia menggalakkan perasaan saling mempercayai, muhibah, menghormati hak orang lain, persamaan keadilan, cinta dan kasih sayang di kalangan pengikutnya.


2.2    Mencari Keredhaan Allah


Seseorang kapitalis yang beragama Islam tidak akan menjadi orang Islam yang beriman, jika objektif utamanya dalam perindustrian adalah untuk mengaut keuntungan.


Sebaliknya, seorang Islam yang benar-benar beriman akan melaburkan modalnya untuk membolehkan orang lain mendapat faedah dan akan bersyukur kepada Allah sekiranya mendapat keuntungan daripada pelaburannya. Objektif utama dia melakukan pelaburan adalah untuk berbakti kepada manusia demi mencapai keredhaan Allah.


2.3    Memikirkan Kepentingan Masyarakat


Memang benar seperti kapitalis yang lain, dia juga akan cuba akan menambahkan produktivitinya, tetapi ini bukanlah satu-satunya motif dalam proses pengeluaran. Dia sentiasa memikirkan kepentingan yang lebih besar untuk masyarakat dan orang yang membantunya untuk mencapai pengeluaran dan tidak akan melaksanakan rancanganya utuk mencapai pengeluaran yang lebih tinggi jika dia terpaksa  mengorbankan kepentingan dan kebajikan pekerjanya.


Ini disebabkan semangat muhibah dan cintakan orang lain yang telah ditanam oleh Islam dalam diri orang yang sebenarnya beriman. Islam telah menjalinkan perhubungan yang baik di antara majikan dan pekerjanya melalui pendidikan moral dan contoh praktikal daripada kehidupan para rasul. Dalam cerita tentang Nabi Musa dan Reuel terdapat pengajaran untuk mengeratkan lagi hubungan majikan dengan pekerjanya. Setelah membunuh seorang lelaki di Mesir, Nabi Musa pergi ke Madain dan mendengar yang anak perempuan Nabi Shuib telah menasihati bapanya supaya mengupah seorang pekerja yang sihat dan boleh dipercayai.




        Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Ya bapaku, ambillah dia sebagai orang  yang bekerja ( kepada kita ) kerana kesungguhannya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ( kepada kita ) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai”.
                   ( Surah al-Qasas 28:26 )


















2.4    Berlaku Baik


Selepas mengambarkan ciri-ciri yang perlu bagi seorang pekerja, al-Quaran menjelaskan pula ciri-ciri seorang majikan yang baik.
                Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini atas dasar bahawa kamu bekerja denganku selama lapan tahun dan jika kamu cukup sepuluh tahun adalah ( suatu kebaikan ) dari kamu tetapi aku tidak mahu memberati kamu. Dan insya-Allah akan mendapati aku termasuk orang yang baik”.
( Surah al-Qasas 28:27 )


Di sini terdapat pengajaran bagi golongan kapitalis supaya berlaku adil dan kasihan belas terhadap pekerja mereka dengan membayar upah yang berpatutan serta menyediakan kemudahan dan keselesaan lain dalam pekerjaan. Manakala pekerja pula mestilah bekerja keras dan berlaku jujur dalam menunaikan tanggungjawab mereka terhadap majikan dan masyarakat. Dengan ini, majikan dan pekerja telah didorong supaya menyedari tanggungjawab di antara satu sama lain.


Rasa tanggungjawab ini merupakan asas perhubungan manusia, dan Islam cuba menanamkan sikap ini di kalangan penganut-penganutnya melalui pendidikan akhlak dan sahsiah. Al-Quran merayu umat Islam dengan firman Allah yang amat tegas supaya bersikap mesra dan lemah lembut kepada setiap umat Islam yang lain demi untuk mencari keredhaan Allah .


                Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.
( Surah al-Hujurat 49:10 )


2.5    Mengetepikan Perbezaan


Seterusnya umat Islam diminta supaya mengetepikan perbezaan di antara mereka dan bersatu dalam persaudaraan Islam.


                Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : “ Dan berpeganglah kamu semua kepada tali ( agama ) Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu ( masa jahiliyah ) bermusuh-musuhan, Allah menjinakkan antara hati kamu”.
( Surah ali Imran 3:103 )


Dalam ayat ini umat Islam dijanjikan dengan rahmat Allah jika mereka menganggap umat Islam yang lain sebagai saudara mereka serta hidup secara aman tanpa sebarang pertelingkahan di anatara mereka. Sama ada pertelingkahan itu melibatkan politik di antara parti atau pertelingkahan dalam perindustrian di antara pekerja dan majikan. Umat Islam semua dinasihati supaya menamatkan petingkahan ini dan menyertai persaudaraan Islam. Kapitalis-kapitalis yang zalim dan menindas diarahkan supaya membetulkan  cara mereka, jika tidak mereka akan kehilangan rahmat daripada Allah. Dari satu segi, sikap buruk golongan kapitalis ini tidak akan mendatangkan faedah kebendaan kepadanya kerana mengambil hati pekerja yang adil dan sah bererti mereka mengurangkan keuntungan yang besar yang sepatutnya diperolehi akibat tindakan mogok yang akan diambil oleh para pekerja mereka.


Sesungguhnya  orang mukmin ialah orang yang sama-sama mengikat diri mereka dengan tali cinta dan kasih sayang serta mempunyai keinginan yang sama. Oleh itu, seseorang kapitalis Islam tidak akan mendapati bahawa kepentingannya bertentangan dengan kepentingan pekerja kerana kedua-duanya bekerja, walaupun dalam keupayaan dan kedudukan yang berbeza, demi untuk kepentingan masyarakat yang mana ia semat-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Kedua-duanya berusaha untuk memenagani keredhaan Allah dengan melakukan kebajikan kepada seluruh umat. Oleh itu, tiada sebab mereka tidak boleh berbaik-baik di antara satu sama lain. Perhubungan yang baik membuka peluang yang luas untuk mereka bekerjasama dan saling membantu di antara satu sama lain seperti saudara mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan perasaan harmoni.


Rasulullah s.a.w  dengan sabda dan amalan baginda, telah membantu mengukuhkan hubungan  di antara pekerja dan majikan. Baginda telah membantu sebuah masyarakat yang mempunyai persamaan yang saling membantu dan bekerjasama demi untuk mencari keredhaan Allah. Semua ini telah membantu menguatkan lagi perhubungan dalam masyarakat.


        Menurut Abu Musa, Rasulullah s.a.w bersabda :
Maksudnya: “ Orang yang beriman berhubungan di antara satu sama lain seperti ( anggota ) satu badan, satu anggota saling menguatkan anggota yang lain”.


Sambil itu baginda menyilangkan jari-jari dari kedua tangan baginda ( untuk menunjukkan perhubungan di antara seluruh bahagian anggota badan ).


Ketika berucap kepada orang yang beriman semasa mengerjakan haji yang terakhir.


Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Fahamilah bahawa seorang Islam adalah saudara kepada seorang Islam dan seluruh orang Islam merupakan saudara orang Islam yang lain. Adalah haram bagi sesiapa mengambil secara paksa sesuatu yang menjadi milik saudaranya kecuali apa yang diberi dengan kerelaannya sendiri. Ingatlah! Aku telah menyampai pesanan  Allah kepada kamu”.


2.6       Moral


Jelaslah bahawa melalui ajaran moral, Islam cuba membentuk sebuah struktur sosial yang dapat membantu memperbaiki perhubungan di antara pekerja dan majikan. Ia menganjurkan supaya pihak-pihak yang terlibat menyelesaikan masalah perhubungan mereka secara persaudaraan dengan rasa simpati, kasih sayang dan muhibbah. Dengan kata lain, ketika berurusan dengan orang lain mereka tidak harus hanya melihat kepada kepentingan-kepentingan mereka sendiri sahaja tetapi mestilah juga melihat kepada kepentingan saudara mereka. Jika segala masalah yang praktikal diselesaikan dengan cara ini, tidak akan wujud sebarang pertelingkahan kepentingan di antara pekerja dan majikan. [9]


Kalaupun terdapat sebarang perbezaan pendapat di antara mereka, negara Islam mempunyai tanggungjawab moral dan hak yang sah untuk campur tangan dan memutuskan isu tersebut dengan adil dan saksama supaya tiada pihak yang dizalimi.


3.0    Tanggungjawab Pekerja Kepada Majikan Dari Perspektif Islam


3.1                   Konsep Kerja dalam Islam


3.1.1.         Kerja merupakan ibadah
Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : “Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk  
                        mengabdikan diri kepada Ku”
                       ( Adz Dzaariyat (51) : 56 )


3.1.2.         Mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga serta tanggungan kita adalah suatu kewajipan


“Sesungguhnya Allah sangat mencintai kepada orang mu’min yang bekerja” ( Hadis )
Nabi Isa (a.s) diriwayatkan telah melihat seorang lelaki langsung Baginda bertanya, “Apakah yang anda lakukan?” Dia menjawab, “Saya sedang menyembah Tuhan”. Nabi Isa (a.s) bertanya lagi, “Siapakah yang sedang memberi keperluan anda”. Dia menjawab, “Saudara saya”. Maka nabi Isa (a.s) menjawab, Saudara anda menyembah Tuhan lebih dari anda.”


3.1.2.1                 Dari konsep di atas, terdapat lima implikasi :


3.1.2.1.1   Ada sekurang-kurangnya tiga jenis balasan bagi mereka yang kerjanya menjadi ibadah. Pertama, ia mendapat balasan dalam bentuk material. Kedua, ia mendapat balasan dalam bentuk kepuasan kerana telah menyelesaikan kerjanya. Ketiga, ia mendapat pahala untuk hari akhirat kelak.


3.1.2.1.2   Kedua, ia akan dirangsang dengan kuat untuk bekerja. Sudah tentu hasil kerjanya lebih baik.


3.1.2.1.3   Dia boleh jadi orang yang proaktif, disiplin, boleh dipercayai dan teratur serta lain-lain.


3.1.2.1.4   Ia akan selalu berwaspada untuk mengelakkan diri dari sebarang kemungkaran, termasuk perkara-perkara yang tidak bermoral.


3.1.2.1.5   Ia boleh menjadi seorang pekerja yang berprestasi tinggi.


3.2                   Etika kerja Dalam Islam


3.2.1     Manusia melakukan dua jenis fungsi dalam konteks kerja :
3.2.1.1               Bertindak atas dunia sekelilingnya.
3.2.1.2       Menggunakan apa yang terdapat di dalam dunia untuk menghasilkan sesuatu.


3.2.2     Kedua-dua jenis fungsi ini terangkum dalam etika kerja Islam.
3.2.3     Umumnya kerja yang dilaksanakan menurut syariah ialah sesuatu bentuk jihad dan tidak boleh diasingkan daripada keagamaan atau spiritual.
Firman Allah s.w.t. :

 “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu tunaikan segala janji kamu”.
( Surah Al-Maidah, ayat 1 )


Janji yang dimaksudkan ini termasuklah segala jenis kerja yang kita lakukan. Oleh itu, kita tidak boleh lari dari kehendak syariah dalam apa juga perkara yang kita lakukan.


3.2.4.        Etika kerja Islam hendaklah menggabungkan antara kerja, sembahyang dan waktu lapang. Itu sebabnya, setiap yang kita lakukan harus ada hubungan atau dipengaruhi oleh syariah. Maka ;


3.2.4.1              Kerja itu pasti dianggap ibadah .
3.2.4.2               Bersifat sederhana dan qanaah.
3.2.4.3               Wujud keadilan antara majikan dan pekerja supaya
                segala upah itu benar-benar halal.
3.2.4.4               Tidak boleh menceburkan diri dalam senarang kerja
                yang menghasilkan perkara yang haram.
3.2.4.5              Harus ada kesepaduan antara tujuan ekonomi dan
etika.
3.2.4.6              Semua aspek kerja harus selaras dengan syariah.


3.3    Peranan Pekerja


Sayyidina Ali ibn Abi Talib (k.w) ketika menjadi khalifah keempat telah ditanya oleh salah seorang rakyatnya, “Mengapakah semasa Omar al-Khattab menjadi khalifah dahulu, Negara kita begitu aman sekali, rakyat dapat hidup dalam keadaan sejahtera dan selamat, tetapi semasa tuan menjadi khalifah, Negara kita begitu huru-hara sekali, peperangan sesama kita juga berlaku? “Jawab Sayidina Ali, “Semasa Omar Al-Khattab menjadi khalifah, rakyatnya adalah terdiri dari orang-orang seperti saya, tetapi masa saya jadi khalifah rakyat adalah terdiri dari orang-orang seperti engkau”.


3.3.1 Daripada jawapan Sayyidina Ali  ibn Abi talib itu, kita boleh buat beberapa kesimpulan :


3.3.1.1              Pekerja mempunyai peranan dalam organisasi untuk
                        melakukan segala tugasnya dengan baik.
3.3.1.2       Mereka harus mengetahui tujuan dan matlamat organisasi
Mereka harus mengetahui had mereka.
3.3.1.3               Mereka harus patuh kepada pemimpin mereka.
3.3.1.4       Mereka harus memahami bahawa pemimpin mempunyai hak membuat keputusan, walaupun Islam menentukan amalan syura.
3.3.1.5                       Setiap orang dalam organisasi bertanggungjawab
untuk menentukan kejayaan organisasi dan bukan terserah kepada pemimpin mereka semata-mata .


3.4    Hak Pekerja


Kenyataan bahawa kekayaan merupakan keluaran bersama pekerja dan majikan diakui sepenuhnya oleh Islam. Ia mengingatkan kedua-duanya akan tanggungjawab mereka kepada Allah dan makhluknya serta menganjurkan mereka supaya menjaga kepentingan orang lain sama seperti menjaga kepentingan mereka sendiri. Walau bagaimana sekali pun, oleh kerana pekerja berada dalam kedudukan yang lebih lemah secara berbanding, dan kepentingan mereka mungkin dirampas oleh majikan, dengan itu Islam telah memberi perhatian yang khusus untuk melindungi hak mereka. Rasulullah s.a.w telah melayan orang suruhannya sama seperti anggota keluarga baginda dan menasihati para sahabat supaya melayani orang suruhan mereka dengan baik.


Baginda pernah bersabda supaya para hamba dan orang suruhan mestilah diberi makanan dan pakaian menurut yang sepatutnya dan mereka tidak boleh dibebankan dengan pekerjaan yang tidak mampu mereka laksanakan.


Pertelingkahan di antara pekerja dan majikan wujud sama ada daripada upah atau ciri pekerjaan, dan Rasulullah s.a.w telah menekankan kedua-dua perkara ini dalam hadis di atas. Baginda sentiasa menasihati para sahabat supaya membayar upah yang baik kepada para pekerja mereka.


Anas menjadi orang suruhan Rasulullah s.a.w untuk beberapa lam telah menyatakan bahwa baginda tidak pernah membayar upah yang rendah kepada sesiapa.


Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi arahan  supaya upah seorang buruh mestilah dibayar sebelum peluhnya kering.


Abu Hurairah pula meriwayatkan yang Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Allah akan memusuhi tiga golongan manusia pada hari pembalasan – golongan ketiga ialah orang yang mengupah pekerja dan mendapat khidmat yang sepenuhnya daripada mereka tetapi tidak membayar upah kepada pekerja tersebut”.


Rasulullah s.a.w melarang penggunaan perkhidmatan mana-mana pekerja tanpa membayar upahnya terlebih dahulu. Rasulullah s.a.w amat bermurah hati kepada orang suruhan baginda dan apabila sesiapa sahaja di antara mereka sakit baginda akan menziarahi rumahnya untuk bertanya tentang kesihatannya. Sayidina Umar, khalifah yang kedua, telah menjadi salah satu daripada tanggungjawab pegawai kerajan untuk menjaga orang suruhan ( hamba-hamba ) yang sakit dan melawat mereka apabila mereka sakit.


Jelaslah bahawa Islam melalui pendidikan moral, telah berusaha mempengaruhi para majikan supaya membayar upah yang berpatutan kepada pekerja mereka serta menyediakan kemnudahan-kemudahan lain dalam pekerjaan mereka. Jika mereka tidak mematuhi arahan ini, kerajaan mempunyai hak untuk campur tangan dalam persoalan dan memastikan para pekerja mendapat bahagian mereka.
Ekploitasi pekerja ini wujud daripada faktor-faktor seperti dasar rasmi yang tidak sesuai, penumpuan kekayaan dan kuasa, ketiadaan latihan dan kemudahan pinjaman bagi pekerja.[10] Jika mana ahli kapitalis membayar upah yang rendah, atau memberi pekerjaan yang terlalu berat kepada mereka atau memaksa mereraka bekerja dengan tempoh yang lama tanpa membayar upah yang berpatutan atau menyuruh mereka bekerja dalam suasana yang tidak sihat dan kotor, negara Islam mempunyai hak untuk campur tangan sebagai langkah untuk menjaga hak pekerja.[11]


Abu Mas’ud Ansari meriwayatkan pada suatu hari dia sedang memukul hambanya lantas dia mendengar satu suara dari belakangnya :


“Ya Abu Mas’ud! Kamu harus tahu bahawa Allah mempunyai kuasa yang lebih besar ke atas kamu”.


Apabila aku memandang ke belakang, aku lihat Rasululla s.a.w sedang berdiri. Dengan serta-merta aku berkata:
“ Ya Rasulullah s.a.w , aku merdekakan hambaku ini untuk mencari keredhaan Allah”.
Baginda bersabda :
        “ Jika kamu tidak berbuat demikian, api neraka akan membakar kamu”.


Khalifah Umar selalu pergi ke pinggir kota Madinah dan apabila beliau menemui sesiapa yang melakukan kerja yang lebih berat daripada kemampuannya, beliau akan membantu meringankan beban tersebut. Beliau juga agak tegas dalam melindungi hak pekerja. Beliau sendiri mematuhi dengan tegas semua peraturan yang berkaitan dengan pekerja dan memaksa orang lain supaya turut mematuhinya. Apabila beliau pergi ke Jerussalem untuk menandatangani perjanjian perdamaian dengan orang Kristian, beliau dan orang suruhannya menunggang seekor unta secara bergilir-gilir. Apabila mereka memasuki pintu kota tiba giliran orang suruhan beliau untuk menunggang unta manakala Umar terpaksa berjalan kaki.


Umar pernah melihat seorang lelaki tua meminta sedekah di tepi jalan dan selepas mengemukakan beberapa soalan, beliau telah menetapkan sejumlah elaun untuk orang miskin dan mengeluarkan perintah supuya semua orang miskin yang meminta sedekah di beri elaun dari Baitulmal.


3.4.1 Berdasarkan perbincangan ini, kita boleh meringankan hak asasi pekerja seperti berikut:


3.4.1.1  Pekerja berhak menerima upah yang membolehkan mereka menikmati satu taraf hidup yang memuaskan.


3.4.1.2  Mereka tidak boleh di beri sebarang pekerjaan yang melampaui kekuatan fizikal mereka dan jika mereka di serahkan kerja yang berat pada bila-bila masa,mereka mestilah disediakan pembantu sama ada dalam bentuk pekerja, modal atau keduanya.


3.4.1.3  Mereka mestilah diberi bantuan perubatan yang sewajarnay adan diberi cuti sakit serta bayaran yang mencukupi untuk tempoh tersebut. Sememangnya wajar jika sumbangan pekerja dan majikan untuk pekerja yang sakit ditambah daripada bantuan kerajaan ( mungkin tabung zakat ).


3.4.1.4  Peruntukan yang munasabah mestilah dibuat untuk pembayaran pencen kepada pekerja yang telah tua, yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka.


3.4.1.5  Para pekerja mestilah dibayar faedah insuran pengangguran di musim pengangguran daripada tabung zakat. Ini akan menguatkan kuasa tawar-menawar mereka dan akan membantu pelaksanaan kadar upah pada tingkat yang munasabah dalam sesebuah negara.


3.4.1.6  Mereka mestilah di bayar pampasan yang secukupnya jika mereka mengalami kemalangan semasa bekerja.


3.4.1.7  Barangan yang dikeluarkan dalam kilang tempat mereka bekerja mestilah diberi kepada mereka secara percuma atau dibeli dengan harga yang lebih rendah.


3.4.1.8  Mereka mestilah diberi layanan yang mesra dan lemah lembut serta dimaafkan jika melakukan sebarang kesalahan semasa bekerja.


3.4.1.9  Mereka mestilah disediakan tempat kediaman yang memuaskan supaya kesihatan dan kecekapan bekerja sentiasa terjamin.












3.4.2         Tidak Boleh Menghukum Pekerja


Islam melarang majikan daripada mengenakan sebarang tindakan terhadap pekerja mereka jika mereka merosakkan barang atau peralatan kerja semasa bekerja. [12]Prinsip bahawa majikan tidak boleh diberi kuasa dalam keadaan apa pun bentuk menghukum pekerja mereka telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hazm dengan kata-kata:


“Pekerja, sama ada seorang rakan atau seorang tukang tidak boleh dihukum jika barangan mengalami kerosakan ketika dia sedang bekerja melainkan setelah diteliti dan mempunyai saksi yang cukup, kalau tidak kenyataan sumpah yang dibuatnya untuk mempertahankan dirinya akan diterima”.


Semua ahli fiqh Islam termasuk imam Abu Hanifah dan Imam Malik bersetuju bahawa tiada hukuman ( denda ) yang dikenakan terhadap hamba ( pekerja ) yang boleh dianggap sah, yang diambil bekerja pada sebarang jangkamasa dengan kadar upah yang telah ditetapkan kerana telah merosakkan barangan atau peralatan kecuali telah terbukti bahawa mereka telah melakukannya dengan sengaja.


4.0    Tanggungjawab Majikan  dari Perspektif Islam


4.1       Pemilihan yang terbaik


Dalam memilih pentadbir, Islam menggariskan prinsip ala misl fa al-misl iaitu pemilihan yang terbaik di kalangan manusia. Penyimpangan daripada prinsip ini adalah bercanggah dengan perintah Islam dan dianggap mendurhakai negara Islam. Kelayakan menjadi pemimpin adalah mereka yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.


          4.2    Peraturan Pentadbiran


Pentadbir atau pemimpin muslim tidak boleh tidak mesti mematuhi prinsip peraturan. Prinsip-prinsip ini amat sesuai untuk semua pegawai kerajaan.


4.2.1 Jangan mengutamakan diri dalam menjalankan tugas apatah lagi menurut nafsu dengan cara yang salah.
                4.2.2.        Cara berkomunikasi mestilah berkesan dan bersifat mahmudah.
                4.2.3.        Tidak menghampiri sifat tamak.
4.2.4.        Bersikap transparent , bertimbang rasa, terbuka dan berlaku baik kepada komuniti.


4.3       Sistem Muhasabah


Islam menggariskan bahawa majikan perlu memberi perkhidmatan dengan
penuh dedikasi . Mereka juga perlu menjalankan tugas berdasarkan pentadbiran awam Islam . Kelalaian atau penyelewengan akan mengundang kemurkaan Allah. Dengan bermuhasabah , mereka akan menyedari bahawa perbuatan seperti korup akan diketahui juga akhirnya. Ketua negara mestilah menyedari kegiatan harian pegawai – pegawainya termasuklah kehidupan awam dan individu mereka.


Islam juga mementingkan pegawai-pegawainya menghargai masa, menepati masa dan berdisiplin . Mereka yang cuai dan malas serta gagal mematuhi disiplin seharusnya diambil tindakan dan tidak boleh diteladani dan tidak wajar diamanahkan jawatan yang lebih tinggi.[13]






4.4       Hak bersuara


Majikan tidak boleh menyekat hak bersuara daripada pekerja kerana Islam tidak menyekat kebebasan bersuara untuk tujuan peningkatan produktiviti dan kualiti dalam pekerjaan . Namun begitu , dalam konteks ketaatan pula , ketaatan pekerja kepada majikan adalah terbatas. Ketaatan kepada makruf  adalah wajib manakala ketaatan kepada mungkar adalah haram. Jika majikan mengeluarkan arahan bertentangan dengan Islam , maka tidak wajib bagi pekerja menurut perintah tersebut .


4.5       Penyalahgunaan kuasa


Islam menuntut individu agar membantu individu lain bukannya menyusahkan orang ramai . Sikap majikan yang menunjuk kuasa dan mengancam  orang lain adalah bertentangan dengan Islam .


4.6       Pengunaan harta negara untuk diri sendiri


Majikan atau pun pegawai kerajaan tidak boleh dengan sewenang – wenangnya menggunakan harta kerajaan untuk tujuan  peribadi . Penggunaan bahan walaupun sekecil seperti pensel ataupun barang yang lebih besar seperti kereta adalah dianggap pecah amanah jika di gunakan untuk kepentingan diri sendiri . [14]




4.7       Larangan menerima rasuah


Islam mengharamkan rasuah secara total . Penerimaan rasuah adalah menempah api neraka Allah . Rasuah akan merosakkan bangsa agama dan negara. Rasuah adalah habuan yang diberikan kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu dengan jalan yang salah dan bukan yang hak. Sebagai contoh, untuk mendapatkan sesuatu kontrak kerajaan, ada kontraktor yang memberikan habuan kepada pegawai yang meluluskan supaya syarikatnya diterima untuk menerima sesuatu projek  kerajaan .


Namun begitu, jika sesuatu pemberian itu tidak disyaratkan dari awal dan setelah sesuatu projek itu selesai, kontraktor itu terfikir untuk memberikan hadiah kepada pegawai yang meluluskan tadi sebagai tanda terima kasih, maka itu tidak termasuk dalam istilah rasuah. Namun begitu , jika pemberian itu suatu yang melampau (melebihi defini hadiah) , ia juga dibimbangi  boleh dikategorikan sebagai rasuah.




5.0                  Keburukan Ekonomi Kapitalis dalam aspek hubungan pekerja dan
majikan


5.1                  Upah


Upah pekerja amat rendah kerana mengikut ciri-ciri sistem kapitalis ialah berusaha untuk memasarkan barangan keluaran dengan keuntungan yang paling maksimum dan dengan kos yang paling murah. Pekerja akan hidup dalam kemiskinan manakala majikan mengaut keuntungan.


5.2                  Pembahagian Keuntungan


Sebahagian besar daripada keuntungan bersih dibahagikan kepada pemegang saham dan bakinya dipindahkan ke dalam peruntukan (simpanan) . Bonus untuk pekerja adalah sebahagian kecil daripada keuntungan dan kewujudannya kepada pekerja tidak bgitu dihiraukan.


5.3                  Untung dan Rugi


Dalam aspek ini golongan majikan akan menggunakan alasan kos overhead yang tinggi dan kerugian bagi mengelakkan pekerja mendapat bahagian keuntungan yang diperolehi. Lazimnya, ia dilakukan dengan tipu muslihat dan penyelewengan perakaunan atau pemindahan wang secara rahsia. Akibatnya, pekerja terpaksa menanggung kerugian dengan pemotongan atua pengurangan atau oleh majikan.


5.4                  Beban


Lantaran dasar kapitalis yang memaksimumkan kualiti dan keuntungan semata-mata melalui konsep menghalalkan cara, kebanyakan majikan mengambil kesempatan terhadap pekerja dengan memberi beban kerja yang berlebihan. Majikan tidak menghiraukan masalah pekerja malah selagi pekerja mampu bekerja, pekerja akan diarahkan bekerja tanpa mengira masa dan tenaga yang ada.


5.5                  Kebersihan


Peruntukan untuk kebersihan dalam ekonomi kapitalis adalah tiada ataupun terlalu minima. Perbelanjaan untuk kebersihan akan menambahkan kos dan meningkatkan peruntukan.


5.6                  Kemudahan peningkatan diri


Peruntukan kewangan untuk peningkatan diri pekerja kurang diambil berat. Kecekapan pekerja tidak dimbil kira kerana peruntukan untuk kursus atau seminar hanya akan mengurangkan keuntungan.






5.7                  Tempat tinggal pekerja


Majikan hanya tahu menggunakan sepenuh tenaga dan usaha pekerja untuk kepentingan syarikat. Majikan tidak bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal dan pakaian serta makanan. Semua itu adalah tanggungjawab pekerja itu sendiri. Sama ada pekerja ada tempat tinggal atau tidak, bukan menjadi masalah kepada majikan.


5.8                  Tuntutan Pekerja


Tuntutan pekerja dalam sistem kapitalis tidak begitu dihiraukan kerana ia adalah perkara remeh. Jika ada persatuan pekerja seperti Parti buruh pun, Kewujudannya adalah untuk mengaburi mata pekerja kerana Parti ini juga mendapat bantuan daripada majikan , untuk kepentingan majikan.


5.9                  Usia dan Kesihatan


Kapitalis melihat bahawa usia tua adalah faktor yang mengurangkan produktiviti bahkan menjadi beban kepada syarikat. Kesihatan yang terjejas di kalangan pekerja adalah satu masalah kepada produktiviti syarikat dan jika sudah tidak mampu bekerja, pihak syarikat tiada empati untuk mencari pekerja lain yang lebih sihat.


5.10       Nilai moral


Nilai mahmudah seperti bekerjasama, persaudaraan, saling bantu membantu, berkasih sayang tidak berharga dalam komuniti. Ia diganti dengan mementingkan diri sendiri, berdendam dan bermusuhan. Tuntutan masyarakat sering diketepikan demi kepentingan peribadi.




6.0         Isu berkaitan Pekerja dan majikan


6.1       Gaji


Ada di kalangan majikan yang mengambil pekerja yang di bawah umur dan pendatang tanpa izin sebagai pekerja mereka. Baru-baru ini, kita didedahkan tentang isu pekerja masyarakat orang asli yang dikurung dan tidak diberi makan dan gaji.Tindakan ini adalah tidak wajar kerana manusia perlu memahami manusia lain . Gaji yang diberi mestilah mencukupi untuk membolehkan pekerja membelanjakan untuk kepentingan keluarga. Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa seseorang majikan adalah berkewajipan untuk membayar gaji yang berpatutan kepada para pekerjanya.


6.2       Jaminan


Pekerja perlulah mendapat jaminan ;
6.2.1 tidak dibuang kerja sesuka hati,
6.2.2 jaminan keselamatan dan kesihatan,
6.2.3 jaminan untuk melakukan solat,
6.2.4 jaminan sokongan seperti cuti, insurans, pencen. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja , SOCSO dan simpanan terkumpul. Akta yang berkaitan di negara ini ialah Akta Pekerja 1955( Semakan 1981). Akta ini memperuntukan sehari cuti rehat dalam seminggu dan tidak boleh bekerja melebihi 48 jam seminggu.


6.3    Kesihatan


Majikan perlu menyediakan kemudahan kesihatan kepada pekerja. Bagi pekerja swasta , majikan perlu menyediakan klinik panel untuk memudahkan pekerja mendapat rawatan.


6.4    Layanan


Pekerja tidak boleh dikasari samada fizikal atau mental. Pekerja tidak dipukul dan dihina. Mereka juga perlu rehat yang cukup.


6.5    Kepuasan bekerja


Bekerja adalah untuk mencari rezeki . Di samping itu, keperluan jiwa juga perlu diberikan. Kepuasan bekerja pelu disempurnakan agar kerja yang dilakukan itu menyeronokkan.


6.6    Eksplotasi wanita


Golongan wanita perlu mendapat gaji yang setimpal dengan usahanya. Tidak ada diskriminasi gaji di kalangan pekerja wanita. Wanita juga mestilah dibenarkan bekerja mengikut kemampuan dan kebolehan mereka. Ada di antara tukang gaji yang disuruh masak daging babi di dalam keluarga bukan Islam . Ini adalah suatu yang tidak patut berlaku dan harus diambil perhatian berat.


6.7    Isu Perkauman


Isu perkauman boleh dimanipulasikan oleh majikan untuk kepentingan mereka. Apa yang jelas, di negara kita ada tiga kaum utama yang menjadi tunjang kepada  masyarakatMalaysia. Sehingga kini masih terdapat Pembahagian tempat kerja seperti di kampung , di ladang dan di bandar.


Pihak majikan juga melantik wakil-wakil pekerja dari kaum yang berlainan walaupun tidak sedari oleh pihak Kesatuan Pekerja. Ini adalah langkah untuk memastikan pekerja tidak dapat bersatu.


6.8    Isu Kepimpinan


Mereka yang bergelar pemimpin mestilah menyedari amanah yang diberikan oleh Allah. Sebenarnya ia adalah satu tangungjawab yang besar dan bukan satu keistimewaan. Pemimpin yang melihat kedudukan sebagai satu kuasa dan keistimewaan akan menjalankan tugas dengan rakus manakala yang berkidmat kerana Allah untuk manusia akan diberkati oleh Allah.














































7.0                   Kesimpulan


Jika kita memperkatakan tentang Islam, segalanya ada di sana. Ia adalah terlalu sempurna kerana ia mencakupi segala bidang dan meliputi alam sebelum manusia dijadikan sehingga manusia menemui Khaliqnya di akhirat nanti. Kesempurnaan itu perlu disedari dan dalam bidang ekonomi Islam, Islam ada garis panduan yang begitu sempurna untuk diaplikasikan dan diamalkan.


Islam menggariskan bahawa kita datang ke dunia ini tidak lain tidak bukan untuk beribadat kepada Allah, mencari bekalan sebanyak-banyaknya untuk menemui Allah nanti. Justeru itu, segala apa yang kita lakukan adalah akan dihisab sebagai ibadah selagi niat kita tidak menyimpang daripada  Lillahi Taala.


Dalam ekonomi Islam, konsep tauhid telah memandu manusia untuk menjaga dua dimensi hubungan iaitu Hablum minallah dan Hablum minannas. Konsep Muamalah dalam Islam adalah berdasarkan tanggungjawab untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah dengan tidak menyebabkan kesengsaraan orang lain dalam hubungan perniagaan bahkan ia lebih kepada win-win situation iaitu kemenangan bagi pihak majikan dan pekerja malah juga hubungan daripada pihak pelanggan dan peniaga.


Majikan yang sebenarnya takut kepada Allah sudah tentu tidak mahu dipersoalkan akan tanggungjawabnya sewaktu di dunia kerana melalaikan kebajikan pekerja dan pekerja yang menyedari konsep tauhid sudah pasti akan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan Allah.


Islam adalah kesejahteraan dan keselamatan .  Mereka yang berada di bawah panji-panji Islam akan melihat bahawa ekonomi Islam tidak membenarkan perkara yang haram di sisi syariah dan tidak menindas bahkan lebih kepada mementingkan perlindungan masyarakat dan kepentingan kesejahteraan dan keseimbangan ekonomi.


Sistem ekonomi Kapitalis telah menonjolkan banyak kelemahan dan perlu berubah. Sistem ekonomi Islam yang lebih baik perlu diamalkan dalam semua sektor ekonomi dan prisipnya perlu diamalkan dalam setiap urusan supaya masyarakat yang harmoni, penyayang dan berdedikasi akan dapat dicapai. Sudah tentu untuk kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat.


Akhir kata, untuk menjayakan sesebuah syarikat bahkan sebuah negara sekalipun, segalanya itu memerlukan hubungan yang baik di antara pekerja dan majikan. Majikan perlu bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya dan menjaga haknya dan pekerja juga perlu bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya dan menjaga haknya selagi tidak bertentangan dengan perintah Aza wa Jalla. Sesungguhnya segala usaha untuk memajukan ekonomi Islam adalah satu jihad dan setiap langkah memenuhi jihad itu sudah pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal.
Wallahu a’lam.




























Bibliografi




Afzal-Ur-Rahman, Penterjemah : Mustafa Kasim, Doktrin Ekonomi Islam Jilid I: 1994, Kuala Lumpur ,Dewan Bahasa dan Pustaka .


Afzal-Ur-Rahman, Penterjemah : Zaharah Salleh, Doktrin Ekonomi Islam Jilid II:1994, Kuala Lumpur ,Dewan Bahasa dan Pustaka.


Hakim Mohamed Said , Penterjemah : Yusof Ismail, Hubungan Majikan dan Pekerja Menurut Islam: 1989, Kuala Lumpur, A.S Noordeen.


Hussin bin Salamon (PM Dr.) , Islam dan Isu-isu Semasa: 2005, PPIPS,UTM.


Jomo K.S , Alternatif Ekonomi Islam Perspektif Kritis Dan Haluan baru : 2001, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.


K. Cole, J. Cameron dan C. Edward , Penterjemah : Jomo K.S. dan Noorkhairil Huda M. Ali , Aliran Pemikiran Ekonomi Kenapa Ahli Ekonomi Tidak Sependapat ?: 2001, Kuala Lumpur , Dewan Bahasa dan Pustaka.


M. Umar Chapra, Islam dan pembangunan Ekonomi, 1997, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Noresah binti Baharom, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Cetakan ketujuh: 2002, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Siti Rohani Yahaya, Konsep Asas Ekonomi: 1985, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.











[1] Noresah binti Baharom, (2002 ), Kamus Dewan , Cetakan ketujuh, Edisi Ketiga: hlm. 483
[2] Jomo K.S., Noorkhairil Huda M. Ali, (2001), Aliran Pemikiran Ekonomi, hlm.15.
[3] Noresah binti baharom, (2002), Kamus Dewan , Cetakan ketujuh, Edisi Ketiga, hlm.843
[4] Mustafa Kasim, Afzal-Ur-Rahman;(1994), Terjemahan : Doktrin Ekonomi Islam, jilid I, hlm.188
[5] Siti Rohani Yahaya, (1985), Konsep Asas Ekonomi, hlm.22
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Mustafa Kasim, Afzal-Ur-Rahman; (1994) ,Terjemahan : Doktrin Ekonomi Islam, jilid I, hlm.190
[9] Zaharah Salleh, Afzal-Ur-Rahman; (1994), Terjemahan : Doktrin Ekonomi Islam, jilid II, hlm.294
[10] M. Umar Chapra, Islam dan pembangunan Ekonomi, hlm.99.
[11] Zaharah Salleh, Afzal-Ur-Rahman; Terjemahan: Doktrin Ekonomi Islam Jilid II, hlm.295
[12]Zaharah Salleh, Afzal-Ur-Rahman; Terjemahan : Doktrin Ekonomi Islam, jilid II, hlm.298.
[13] Hakim Mohamad Said, (1989), Hubungan Majikan dan Pekerja Menurut Islam.Kuala Lumpur,A.S Nordeen,  hlm.,168


[14] Ibid, hlm., 177


Tiada ulasan: