Perbezaan Pendapat Ulama’ Tentang Tertib dan Susunan Surah-surah Al-Quran.

Oleh : Ibnu Jaffar

1.0 Pendahuluan

Menurut jumhur ulama , jumlah surah al-Quran ialah 114 surah dan ia pula tidak sama panjang dan pendeknya. Di mana ada surah yang panjang dan ada yang pendek . Antara surah yang terpanjang ialah surah al-Baqarah iaitu 286 ayat. Manakala surah yang terpendek ialah surah al-Kauthar yang mengandungi 3 ayat.

Surah-surah al-Quran dari segi panjang pendeknya terbahagi kepada empat iaitu ; a) Assab’uthiwaal iaitu tujuh surah yang panjang iaitu ; al-Baqarah, Ali Imran, al-Nisaa’, al-A’raf, al-An’am al-Maidah dan Junus
b) Al-Miuun iaitu surah-surah yang berisi kira-kira seratus ayat lebih seperti ; Surah hud, Surah Yusuf dan Surah al-Mukmin.
c) Al-Matsaani iaitu surah-surah yang kurang dari seratus ayat seperti ; Surah al-Anfal, al-Hijr dan sebagainya.
d) Al-Mufasal iaitu surah-surah pendek seperti; Surah al-Dhuha , Surah al-Ikhlas dan sebagainya.

Jumlah bilangan ayat al-Quran pula , mengikut Ulama al-A’dad di dalam Kitab Ilmu al-Fawasil, di dalam menentukan jumlah yang sebenarnya ayat-ayat kitab suci, kita terpaksa berpandukan kepada ulama yang telah diiktiraf iaitu ada sebanyak tujuh ulama al-A’dad. Menurut ulama ahli madinah al-Awwal sebanyak 6 217 ayat. Menurut ulama ahli madinah Assani iaitu sebanyak 6 214 manakala pendapat ulama ahli Mekah sebanyak 6219 ayat. Menurut ulama ahli Basrah pula, sebanyak 6 204 ayat dan menurut ulama ahli Dimasyki pula sebanyak 6 227 ayat. Ulama ahli Himsi menyatakan sebanyak 6 232 dan akhirnya, menurut pendapat ahli Kufah iaitu sebanyak 6 236 ayat.

2.0 Pengertian surah

Menurut Kamus Dewan Bahasa Surah, membawa maksud bab atau fasal ( yang mengesahkan sesuatu ) dari al-Quran. Surah juga dimaksudkan sebagai sejumlah atau sekumpulan ayat al-Quran yang terbentuk secara tersendiri dengan mempunyai permulaan dan akhiran.

3.0 Tertib surah

Berkaitan dengan tertib dan susunan surah al-Quran, ulama berselisih pendapat. Pendapat tersebut dapat dibahagikan kepada tiga pendapat.

3.1 Pendapat pertama

Pendapat ini didokong oleh Abu Ja’far al-Nahhas dan Abu Bakar al-Anbari. Mereka berpendapat bahawa tertib surah dalam al-Quran adalah melalui penetapan dan taufiqi daripada Rasulullah sama seperti tertib ayat. Di mana baginda pula diberitahu melalui malaikat Jibril di atas perintah daripada Allah. Justeru itulah, al-Quran semenjak zaman nabi telah tersusun surah-surahnya sampai kini.

Bukti-bukti pendapat mereka ada empat .

3.1.1 Pengumpulan dan Mashaf Uthmani disusun secara tertib mengikut zaman nabi dan tidak ada seorang sahabat pun yang berselisih tentangnya dari situ jelaslah ia adalah merupakan suatu ijma’.

3.1.2 Rasululullah juga membaca beberapa surah secara tertib di dalam sembahyang baginda. Hal itu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Ibn Syaibah yang bermaksud : “Nabi pernah membaca beberapa surah Mufassal ( surah pendek) dalam satu rakaat”.

3.1.3 Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn mas’ud yang berkata maksudnya : “Surah Bani Isra’il , al-Kahfi, al-Mariam, Taha dan al-Anbiya’:Surah-surah itu termasuk kategori surah yan diturunkan di Mekah dan yang mula-mula aku pelajari”.
Selepas itu Ibn Mas’ud menyatakan surah-surah itu secara berurutan sebagaimana tertibnya susunan yang ada dalam mashaf sekarang.

3.1.4 Ulama telah sepakat mengatakan wajib menghormai tertib surah-surah al-Quran yang telah tersusun al-Quran yang telah tersusun dalam Mashaf Uthmani kerana penyusunan dan penulisannya telah ijma’.

3.2 Pendapat kedua

Pendapat ini mengatakan tertib surah adalah dengan berpandukan kepada ijtihad para sahabat berpandukan ingatan dan perbezaan tertib yang ada di dalam mashaf-mashaf milik mereka. Pendapat ini disokong oleh Imam Malik dan Qadhi Abu Bakar.

3.2.1 Hujah pendapat kedua

Para sahabat berbeza di antara mereka sebelum khalifah Uthman Ibn Affan memerintahkan supaya ditulis secara seragam. Sekiranya tertib surah itu berdasarkan taufiqi, tentu tidak ada perselisihan atau perbezaan mashaf di kalangan para sahabat.

3.2.1.1 Mashaf para sahabat berbeza di antara mereka sebelu khalifah Uthman Ibn Affan memerintahkan supaya ditulis secara seragam. Sekiranya tertib surah itu berdasarkan taufiqi, tentu tidak ada perselisihan atau perbezaan mashaf di kalangan para sahabat. Bukti pernyataan tersebut ialah seperti berikut :-

a) Mashaf milik Saiddina Ali mengikut tertib nuzul al-Quran atau masa turun. Iaitu dimulai dengan surah al-A’laq, al-Muddathir, al-Muzammil, al-Masad, al-Takwir seterusnya hingga akhir surah Makki dan Madani.

b) Mashaf milik Ibn Mas’ud yang pertama ditulis adalah surah al-Baqarah, al-Nisa’ kemudian Ali ‘Imran.

c) Dalam Mashaf Ubai Ibn Ka’ab yang pertama ditulis ialah al-Fatihah, al-Baqarah, al-Nisa’ dan kemudian Ali ‘Imran.

3.2.1.2 Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Asytah daripada Ismail Ibn Abbas daripada Hibban Ibn yahya daripada Abu Muhammad al-Qurasyiy beliau berkata :
“Uthman telah memerintahkan kepada para sahabat supaya menyusun atau mentertib surah-surah yang panjang-panjang. Kemudian ia menjadikan Surah al-Anfal dan surah al-Taubah di dalam kumpulan “Tujuh” dan surah yang ke tujuh. Dan ia tidak memisahkan di antara surah al-Anfal dengan surah al-Taubah dengan Basmalah.”

3.3 Pendapat ketiga

Pendapat ini mengatakan bahawa sebahagian daripada surah itu tertibnya secara taufiqi atau penetapan nabi, manakala sebahagian yang lain pula berdasarkan ijtihad para sahabat. Pendapat ini sebagaiana yang dinyatakan oleh Ibn hajar : “Tertib sebahagian besar surah adalah bersifat taufiqi. Sebagaimana hadis daripada Huzaifah al-Thaqafi , terjemahannya :

Rasulullah berkata kepada kami :”Telah datang kepadaku waktu untuk membaca bahagian ( hizb) daripada al-Quran, maka aku tidak mahu keluar sebelum selesai membacanya.” Lalu kami tanyakan kepada para sahabat Rasulullah :”Bagaimanakah kamu semua membuat pembahagian al-Quran?”. Mereka menjawab “Kami membahagikannya kepada tiga surah, lima surah, tujuh surah, sembilan surah, sebelas surah, tiga belas surah dan bahagian al-Mufassal dari Qaf hingga tamat.

Berpandukan dalil tersebut, Ibn hajar berpendapat bahawa ia menunjukkan tertib surah seperti yang terdapat dalam mashaf sekarang adalah tertib surah semenjak zaman nabi, namun begitu berdasarkan dalil tersebut, kemungkinan tertib surah pada masa itu hanya bahagian mufassal sahaja.





4.0 Rumusan

Sebagai rumusannya, pendapat pertama adalah pendapat yang rajih dan lebih tepat iaitu tertibnya berdasarkan taufiqi sama dengan tertib ayat-ayat. Hal ini telah disokong dan dinyatakan oleh Abu Bakar Ibn al-Anbari : “Allah telah menurunkan al-Quran seluruhnya ke langit Dunia. Kemudian ia menurunkan secara beransur-ansur. Sesebuah surah itu turunnya kerana sesuatu peristiwa yang berlaku dan ayat turun sebagai jawapan orang yang bertanya. Dalam hal itu pula , Jibril sentiasa memberitahu nabi dimanakah sesebuah surah dan ayat itu seharusnya diletakkan. Justeru itu, semua susunan surah dan ayat adakah menurut penetapan nabi.”

Antara lain, pendapat kedua dan ketiga boleh disangkal kerana pendapat pertama berdasarkan ijma’ dan dalil bahawa ada taufiqi daripada nabi sebagaimana yang dikemukakan oleh pendapat pertama dengan menemukakan hadis riwayat al-Bukhari yang merupakan hadis sahih dan tidak dapat dipertikaikan jika dibandingkan dengan riwayat lain.

Antara lain juga , hadis yang dijadikan sandaran oleh pihak ketiga bukanlah hadis marfu’ kepada nabi. Seterusnya untuk menyangkal persoalan yang berkaitan dengan berlaku perbezaan itu sebelum para sahabat tahu ada taufiqi daripada nabi.

Dengan penerangan itu dapatlah dinyatakan bahawa terdapat tiga pendapat tentang tertib dan susunan surah-surah al-Quran. Pendapat pertama didokong oleh Abu Ja’afar al-Nahhas dan Abu Bakar al-Anbari, iaitu melalui penetapan taufiqi daripada nabi. Pendapat kedua didokong oleh Imam Malik dan Qadhi Abu bakar iaitu pendapat mereka , berpandukan ijtihad para sahabat , manakala pendapat ketiga didokong oleh Ibn hajar iaitu sebahagian taufiqi daripada nabi dan sebahagian lain adalah ijtihad para sahabat. Maka rumusannya ialah pendapat yang pertama adalah lebih rajih iaitu tertib dan susunan surah-surah al-Quran melalui penetapan taufiqi.


Rujukan

Hassan Mahmud al-Hafiz , Tajwid al-Quran , 1986 , Dinie Publishers, Kuala Lumpur.

Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002 , Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Zulkifli bin Hj. Mohd. Yusoff, Kunci Mengenal al-Quran, 1996, Berita Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Rosmawati binti Ali , Pengantar Ulum al-Quran , 1997 , Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Yayasan Penyelenggara Penterjemah al-Quran , Al-Quran dan Terjemahannya , 1974 , Menteri Agama Republik Indonesia .

Tiada ulasan: