Ulasan Perempuan Menjadi Imam Solat



Oleh: Ibnu Jaafar

Pengenalan


Pada 18 Mac , 2005 , berlaku suatu peristiwa yang tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah , zaman para sahabat atau tabi’in selepas baginda dan tidak pernah berlaku di zaman kegemilangan Islam . Tindakan ini dilakukan oleh sekumpulan orang Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai modenis Islam dan pejuang pembebasan wanita .


Pada detik itu , apa yang berlaku ialah , sebuah solat Jumaat yang dilakukan di New York , Amerika Syarikat dengan seorang wanita menjadi khatib menyampaikan khutbah dan didengari oleh lelaki dan wanita . Seterusnya wanita itu mengimami solat Jumaat tersebut setelah seorang wanita melaungkan azan untuk solat .


Solat itu juga menyaksikan percampuran lelaki dan wanita . Pihak wanita juga tidak menutup aurat dan yang lebih kontrovesi , ia dilakukan di dalam sebuah dewan milik gereja Kristian di Amerika Syarikat . Solat Jumaat itu dilakukan di Synod House yang dimiliki oleh gereja Episcopal Cathedral of Saint John The Divine di Manhattan , New York. Ia dihadiri oleh 60 orang wanita dan 40 orang lelaki , bercampur gaul dan terdiri daripada , aktivitis hak wanita , para wartawan dan para pelajar .


Wanita yang mencetuskan kontrovesi itu ialah , Dr Amina Wadud dan Muazinnya pada hari tersebut ialah Suhayla al-A’ttar.


Solat Jumaat itu diadakan sempena sambutan hari Umat Islam di Amerika Syarikat dan ditaja oleh Muslim Women’s FreedomTour di bawah pimpinan Asra Q. Nomani.


Solat tersebut pada peringkat awalnya dirancang untuk diadakan di masjid di Amerika syarikat . Namun permohonan itu ditolak oleh tiga buah masjid di sana . Kemudian pihak penganjur mencadangkan mengadakannya di Galeri Seni di Manhattan.


Rancangan tersebut dibantah keras oleh persatuan Islam dan ilmuan Islam di Amerika syarikat. Akhirnya , solat jumaat itu  dilakukan juga di di Synod House yang dimiliki oleh gereja Episcopal Cathedral of Saint jJohn The Divine di Manhattan , New York.


Menurut Amina Wadud , tindakan tersebut dilakukan untuk menyampaikan satu mesej iaitu menuntu persamaan hak bagi wanita dan lelaki dalam melaksanakan kewajipan beragama , seperti hak wanita untuk mengimami solat walaupun kepada makmum lelaki dan hak wanita untuk berada di satu saf bersama lelaki tanpa berada di belakang saf lelaki  . Mereka menganggap tindakan lelaki menjadi imam dan makmum wanita berada di belakang saf lelaki hanyalah merupakan adat dan ikutan yang telah lapuk dan bukannya peraturan beragama .


Hujah wanita ini ialah , tidak ada sebarang tindakan Rasulullah yang melarang wanita mengimami lelaki dan perempuan . Oleh kerana itu , beliau beranggapan tindakan menghalang wanita menjadi imam solat lelaki merupakan satu perbuatan yang telah berakar umbi dalam masyarakat Islam tanpa ada sebarang usaha yang serius utnuk memperbetulkannya .


Cara berfikir seperti ini amat bahaya kerana ia akan membawa kepada cubaan mempergunakan teks-teks syara’ sama ada al-Quran atau al-Hadis untuk menyokong tindakan mereka , bukannya melihat teks al-Quran dan al-Hadis untuk melihat apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.


Sinopsis


Artikel in menjelaskan tentang  perbincangan di antara, Ulil Abshar-Abdalla dari JIL berbicang-bincang dengan KH Husein Muhammad (Pengasuh Pondok Pesantren Darut Tauhid, Arjowinangun, Cirebon) dan Dr. Nur Rofi'ah (alumni Universiti Ankara  Turki yang kini menjadi pensyarah  UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta) pada Khamis , 24 Mac 2006, KH Husein Muhammad menyatakan bahawa perempuan dibolehkan menjadi imam solat bagi siapa saja, baik bagi perempuan maupun laki-laki. Beliau tidak setuju dengan pernyataan bahwa di dalam hukum Islam, perempuan tidak dibolehkan menjadi imam bagi laki-laki.Pernyataan itu bagi beliau hanyalah pandangan mainstream ulama saja.
Beliau menyatakan bahawa dalam literatur Islam klasik seperti kitab al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab karangan Imam Syarafuddin al-Nawawi ataupun dari pendapat Umar Nawawi Banten (dari kaum muslim Sunni, terutama Nahdatul Ulama’) dikatakan bahwa, seluruh ulama dari dulu sampai sekarang, kecuali Abu Tsaur, melarang perempuan untuk menjadi imam bagi laki-laki. Ini juga merupakan pendapat Abû Hâmid al-Isfirâyaini. Tapi menurut pendapat mainstream ini sebetulnya juga disanggah beberapa tokoh besar mazhab Syafi’i, seperti Qadhi Abu Tayyib, dan al-'Abdari. Mereka bahkan mengatakan bahwa yang membolehkan bukan hanya Abu Tsaur, tapi juga Imam Mazni dan Imam Ibnu Jarir al-Thabari. Perlu diingatkan di sini bahwa, Ibnu Jarir yang juga seorang mujtahid besar yang kebesarannya sama dengan mazhab fiqh empat lainnya. Bahkan, Imam Mazni, tokoh besar yang menjadi murid utama Imam Syafi'i juga membolehkan. Jadi sebetulnya, tidak hanya Abu Tsaur yang membolehkan perempuan menjadi imam bagi laki-laki. Beberapa orang yang beliau sebutkan itu juga membolehkan perempuan menjadi imam salat bagi laki-laki sekalipun.


Menurutnya lagi , banyak sekali pemikiran dan pendapat hukum Islam yang maju bukan hanya dalam soal ini, tapi juga soal lainnya yang memang tidak popular dan tidak muncul ke permukaan.  Islam yang kita warisi ini adalah Islam politik; selalu ada kekuasaan-kekuasaan politik yang memihak pandangan-pandangan tertentu dan melenyapkan pandangan lainnya.
Menurut beliau lagi Argumen yang sering dikemukakan oleh mereka yang melarang sebenarnya diambil dari hadis nabi, karena al-Quran sendiri tidak menyinggung persoalan ini. Hadis yang selalu dikemukakan adalah hadis Ibnu Majah yang bersumber dari Jabir yang bermaksud, ”Janganlah sekali-kali perempuan mengimami laki-laki, Arab Badwi mengimami Muhajir (mereka yang ikut hijrah bersama nabi ke Madinah), dan pendosa mengimami mukmin yang baik”. Hadis inilah yang sering dikemukakan di banyak tempat, untuk menyokong  argumen yang tidak membolehkan perempuan mengimami laki-laki dalam solat.Beliau menyatakan bahawa Imam Nawawi sendiri sudah mengatakan dalam kitabnya bahwa hadis ini lemah atau dla’if.
Argumen yang membolehkan wanita menjadi imam adalah dilandaskan pada hadis Ummi Waraqah yang lebih kuat  sanadnya, apalagi matannya. Hadis itu bermaksud , “Nabi pernah berkunjung ke kediaman Ummi Waraqah, lalu menunjuk seseorang untuk azan, dan memerintahkan Ummi Waraqah untuk mengimami keluarganya. Di antara orang yang ada di kediaman Ummi Waraqah tersebut terdapat syaikhun kabir wa ghulamuha wajariyataha atau seorang laki-laki lanjut usia dan seorang budak laki-laki dan perempuan. Hadis ini lebih sahih dari pada hadis pertama tadi dari sisi sanad, apalagi matan.
Secara umum memang tidak muncul contoh dari nabi dan para sahabat. Namun begitu dalam hadis tersebut, Ummi Waraqah sedang berhadapan langsung dengan nabi. Bahkan, nabi sendiri yang memerintahkannya untuk mengimami keluarganya yang beranggotakan kaum laki-laki. Beliau menegaskan bahawa  yang menarik dari hadis ini adalah kenyataan bahwa nabi membolehkan perempuan menjadi imam di hadapan makmum lelaki tua dan seorang budak laki-laki.
Beliau juga berhujah bahawa fantasi seks lelaki menjadikan imam tidak sesuai dari kalangan wanitawsnita tidka sesuai Beliau juga menyatakan bahawa jika fantasi itu dapat dihindar tidak akan ada lagi halangan bagi perempuan untuk menjadi imam laki-laki.


Ulasan


Untuk mengulas artikel ini , eloklah saya sorotkan kembali tentang beberapa perkara berkaitan solat berjamaah.


Menurut sejarahnya , Rasulullah mula mendirikan solat jamaah selepas peristiwa Hijrah . Selama 13 tahun berada di Mekah baginda bersolat tanpa berjamaah kerana para sahabat terpaksa menunaikan solat  di rumah masing-masing . Setelah berhijrah ke Madinah , barulah baginda memulakan solat berjamaah.[1]


Di antara fadhilat solat berjamaah ialah berdasarkan firman Allah yang bermaksud : ”Dan apabila engkau (Muhammad) berada di kalangan mereka (semasa perang ) lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam)  mereka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri (mengerjakan sembahyang ) bersama-samamu dan hendaklah mereka memegang senjata-senjata mereka . Maka tatkala mereka sujud hendaklah mereka berada di belakang kamu dan datanglah satu kumpulan lain yang belum solat lalu hendaklah mereka solat bersama kamu.”
(Surah al-Nisa’ayat 102)


Sekiranya dalam keadaan perang yang sudah tentu kacau bilau solat berjamaah tetap digesa apatah lagi di kala aman . Sekaligus menunjukkan pahala yang besar bagi mereka yang solat berjamaah .Ganjaran besar yang dikurniakan oleh Allah terhadap pelaksanaan solat berjamaah adalah sebagai petanda yang nyata bahawa umat Muhammad (SAW) ialah umat yang istimewa .


Banyak hadis   Rasulullah (SAW)  menjelaskan tentang kelebihan solat berjamaah antaranya sabda rasulullah (SAW) yang bermaksud :
Daripada ibu Umar (Ra) nabi SAW bersabda , pahala solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat ( riwayat Bukhari dan Muslim )


Sebuah lagi hadis , yang bermaksud :


Daripada Abi Hurairah berkata , Sabda Rasululullah (SAW) tiada solat yang lebih berat bagi orang-orang munafik itu untuk didirikan melainkan solat Subuh dan Isyak. Jika sekiranya mereka mengetahuai kebaikannya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita untuk mengarahkan kepada muazzin untuk azan dan iqamah lalu aku arahkan seorang lelalki mengimami orang ramai . Kemudian aku mengambil seenggam kahu api untuk membakar sesiapa yang meninggalkan jamaah.( Riwayat Bukhari dan Muslim)


Solat berjamaah juga dapat memupuk rasa mahabbah dan kasih sayang , taaruf berkenalan dan tolong menolong sesama Islam ia boleh menanam prinsip berkasih sayang dalam hati orang-orang yang beriman dan menimbulkan perasaan Islam yang saling bantu mambatu tanpa membezakan kedudukan atau pangkat. Dalam melaksanakan perintah solat berjamaa, iri secar tih supaya hidup bersistem dan berperturan dalam ketaatan dan kebajikan maaruf kesannya akan terpancar dalam kehidupan bermasyarakat dan individu . Solat berjamaah juga dapat mengikat anggota masyarakat dengan suatu ikatan yang kukuh .


Hukum solat berjamaah .


Al-Hafiz Ibn Qayyim menulis bahawa solat menjamin nafkah harian , menyihatkan kesihatan badan , menghilangkan penyakit , meneguhkan hati , memberi cahaya dan kecantikan pada wajah , menggembirakan rohani , menyegarkan tubuh badan daripada malas , melegakan fikiran , memberi makanan rohani , mencerahkan hati dan menjamin keredhaan Allah. Ia menjadi pelindung pada hari qiamat. Ia menjauhkan syaitan dari kita untuk mendekati Allah . Pendek akata solat adalah satu jaminan bagi segala yang diidamkan dan satu benteng bagi segala yang tidak diingini unuk jasad dan rohani sama ada di dunia atau di akhirat kelak.[2]


Menurut mazhab Hanafi dan Maliki , sembahyang berjamaah pada sembahyang fardhu selain Jumaat hukumnya sunat muakad bagi lelaki yang berakal lagi mampu.
Menurut Mazhab Syafie pula terbahagi kepada dua iaitu pendapat pertama hukumnya sunat muaakkad dan pendapat kedua hukumnya fardhu kifayah. Mazhab Hanbali pula menyatakan hukumnya ialah wajib ain.


Syarat-syarat berjamaah


Untuk menjadi imam , mereka perlu mengikut syarat-syarat iaitu , makmum jangan mengetahui atau meyakini bahawa solat imamnya batal. Selain itu imam jangan seorang ummi sedangkan makmumnya seorang ummi sedangkan makmumnya seorang qari. Syarat lain ialah , imam jangan seorang perempuan apabila makmumnya lelaki . Imam juga perlu mempunyai siat-sifat yang digalakkan seperti lebih alim, lebih fasih , lebih saleh dan sebagainya .


Tatacara mengikut imam


Apabila berjamaah , makmum hendaklah jangan terkedepan daripada imam . Perlu juga diketahui bahawa makmum hendaklah mengikut perpindahan imamnya dalam rukun fi’li
Selain daripada itu , imam dan makmum jua jangan terpisah oleh jarak yang luas. Makmum juga hendaklah berniat berjamaah mengikut imam


Hukum wanita menjadi imam


Menurut hadis yang bermaksud :
Sabda Rasululullah (SAW) : ”Perempuan jangan menjadi imam kepada seorang lelaki”.
(Riwayat Ibn Majah 1081)


Apabila menjadi imam seorang wanita kepada kumpulan lelaki , wanita  dan kanak-kanak lelaki nescaya solat perempuan tadi sah dan memadai, manakala solat kumpulan lelaki dan kanak-kanak lelaki tidak sah dan  tidak memadai kerana Allah menjadikan lelaki pemimpin bagi kaum wanita.[3]


Pendapat ini juga tidak lari daripada pendapat imam al-Nawawi . Menurut beliau , tidak sah imam perempuan dan khunsa kepada lelaki sama ada solat fardhu atau sunat.


Pendapat yang mengatakan wanita layak menjdai imam sembahyang adalah tidak kuat . Ini adalah kerana ia tidak pernah berlaku di zaman Rasululullah, sahabat dan tabiin. Oleh itu, apa yang diamalkan itu adalah bid’ah.


Selain itu , ulama dalam lapan mazhab Islam yang diiktiraf sepakat tidak membenarkan wanita menjadi imam solah fardhu kepada jamaah lelaki yang ajnabi kerana tiada nas yang sahih menyokong perbuatan tersebut.


Pendapat Imam Muzani dan Abu Thaur yang mengharuskan wanita mengimami lelaki adalah lemah. Selain itu , didapati Dr. Amina Wadud , mendirikan solat Jumaat itu bukan untuk keredhaan Allah tetapi hanya untuk membuktikan persamaan hak gender.
Niat yang tidak betul sewaktu menghadap Allah , tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada mereka yang beribadah . Niat beribadat untuk mencari keredhaan Allah sudah tentu jauh lebih baik daripada beribadat untuk mencari kesamarataan gender.
Sesuatu ibadat dengan niat yang menyeleweng sudah tentu tiada pahala malah dikhuatiri dibalas dengan dosa bid’ah yang akan menjerumuskan mereka  ke dalam neraka.


Kerana  inilah kita dapati para sahabat nabi generasi sesudah mereka menolak setiap yang menyalahi sunnah yang sahih dan kadang-ladang mereka bersikap keras dalam penolakan itu , bukanlah disebabkan mereka memarahinya , malah disebabkan jiwa mereka kasih kepada kebesaran sunnah dan nabi mereka [4] .


Tindakannya itu hanya mengundang perpecahan . Sepatutnya mereka memperjuangkan isu-isu pokok seperti penderitaan wanita di Palestin. Mereka jua seharusnya celik mata dalam isu-isu seperti pelacuran zina dan keruntuhan rumahtangga yang sepatutnya diambil perhatian.


Hukum yang sedia ada dan diamalkan ribuan tahun di dalam agama kita , bahawa wanita hanya boleh mengimamkan sembahyang jemaah wanita atau kanak-kanak , tidaklah seharusnya berubah dengan mudah hanya semata-mata kerana perbuatan beberapa orang wanita yang membuat tafsiran sendiri tentang ajaran agama khususnya dalam ibadat itu.[5]


Amalan ibadat kita mestilah kerana ketaqwaan kepada Allah dan bukan kerana menonjolkan persamaan gender. Bagi Allah , segala pembahagian gender , kaum , puak dan sebagainya tidak mempunyai makna dan kepentingan kepada Allah tetapi yang penting ialah sifat taqwa kepada Allah . Ini dapat dilihat dalam firman Allah yang bermaksud :


Wahai manusia , sesungguhnya telah kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami ciptakan berbagai-bagai kaum dan puak supaya kamu dapat berkenal-kenalan. Sesungguhnya golongan yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah golongan yang paling bertaqwa.
(Surah  al-Hujurat ayat 13)
Seharusnya mereka sedar bahawa sekiranya ada keharusan untuk melakukan yang demikian , pasti yang paling layak melakukannya terlebih dahulu ialah para ummahat al-Mukminin isteri-isteri baginda Rasululullah . Di antara mereka ada yang pakar ilmu fiqh iaitu Aisyah .Namun begitu tidak tercatat dalam sejarah Islam adanya mereka melakukan demikian .



Kesimpulan


Sebagai kesimpulan, semua ibadat yang kita lakukan adalah kerana Allah kerana sedar bahawa manusia dilahirkan untuk beribadat kepada Allah . Nabi telah diturunkan dengan matlamat untuk menjelaskan firman Allah di samping memberi panduan hidup lantaran kesyumulan agama Islam . Perbuatan beribadat dengan niat untuk menunjukkan perempuan juga boleh mengimami lelaki ataupun untuk menunjukkan  dan menuntut persamaan gender adalah perbuatan yang seolah-olah Allah tidak cukup bijak dalam menentukan qadha dan qadarnya berdasarkan Ilmu dan Iradat Allah. Tindakan yang seumpama ini sebenarnya bukan menambahkan perkembangan Islam tetapi menambahkan kekalutan dengan bid’ah-bid’ah baru yang merugikan umat islam.


Tindakan Dr. Aminah wadud sebenarnya tindakan yang sangat silap kerana ia disokong oleh pertubuhan bukan Islam yang hanya ingin melihat Islam sebagai agama yang masih ada kekurangan dan perlukan penambahbaikan sedangkan Allah telah menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang haq dan telah cukup sempurna melalui utusan yang terakhirnya iaitu nabi Muhammad (s.a.w).


Sebenarnya , umat Islam telah terlalu sarat denan cabaran yang sedang menunggu dan yang sedang dilalui . Cabaran pemikiran seperti sekularisme , orientalisme , Liberalisme , pacamoden , globalisasi dan banyak lagi pemikiran yang menjauhkan umat Islam daripada tuhan dengan mengagungkan hedonisme telah terlalu menakutkan untuk dibicarakan . Kerosakan yang maha besar sedang menungu umat Islam . Selain itu  , ancaman kristianisasi dan ancaman yahudi  juga tidak pernah mengucapkan  selamat tinggal . Dari aspek dalaman pula, umat Islam masih terus dikejar dengan masalah ajaran sesat dan ajaran yang menyeleweng seperti ajaran Ayah Pin dan Qadiani . Semua ini amat memberatkan bebanan umat islam . Ditambah pula dengan pemikiran Amina wadud yang sangat pelik dan membabi buta .


Akhir kalam , jika Dr. Amina wadud inginkan nama , tidak perlulah menunjukkan kebolehan mengimami solat jumaat mengikut acuan sendiri  yang bukan sahaja dihukumkan tidak sah malah berdosa itu . Biarlah ibadat solat itu dilakukan dengan tertib sebagaimana ajaran Rasulullah . Ikutlah contoh isteri-isteri nabi kerana mereka itu wanita yang sesuai dijadikan contoh untuk Dr. Amina wadud. Jika inginkan nama yang baik , buatlah kebajikan dengan membantu berjuta umat Islam wanita yang berjuang untuk hidup dan berjuang untuk maruah dan berjuang dengan nanah, darah dan air mata di Palestine , di Iraq , di Pakistan dan banyak lagi negara Islam lain . Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk Allah dan bukan orang yang disesatkan seperti umat yag terdahulu . Tinggalkanlah nama yang baik sebelum kita menghembuskan nafas yang terakhir. Bak kata pepatah melayu , ’Harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama’. Wallahu a’lam.



Bibliografi


Al-Imam al-Syafie, Al-Umm Cetakan 1(1993), Maktabah Dar al-Baz dan Dar al-Kutub Ilmiah.


Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi, Fadhilat Solat ( 2001), Penerbitan Jahabersa, Johor Baharu, Johor.


Muhammad Naasiruddin al-Baani, penterjemah, Abdullah al-Qari bin Hj. Salleh, Contoh Sembahyang Rasulullah (1995), Dinie  Publishers, Kuala Lumpur.


Mingguan Malaysia , Ruangan Cetusan Pemikiran oleh Dato Dr. Ismail Ibrahim, Ahad, 3 April 2005.


Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mohd. Khairuddin Aman Razali al-Takiri, Hukum Wanita Menjadi Imam Solat, Kontroversi Solat Jumaat Dr. Amina Wadud (2005), Darul Fuqaha Ent., Kajang, Selangor.





[1] Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mohd. Khairuddin Aman Razali al-Takiri, (2005), Hukum Wanita Menjadi Imam Solat,Kontroversi Solat Jumaat Dr. Amina Wadud, hal:29
[2] Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi , (2001) , Fadhilat solat , hal: 33 dan 34


[3] Al-Imam al-Syafie,(1993),al- Umm, hal.292
[4] Muhammad Naasiruddin al Baani , Penterjemah Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh , (19995)Contoh Sembahyang Rasulullah (s.a.w), hal: 11.
[5] Minggan Malaysia , Dato Dr. Ismail Ibrahim, Ruangan Cetusan Pemikiran , Ahad , 3 April 2005.


Tiada ulasan: